Tuesday, August 2, 2011

Ramadhan

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Mungkin sudah lama saya tidak kelihatan, tetapi kali ini saya kembali membawakan topik ‘Ramadhan, bulan keberkatan’.
Bermulanya Ramadhan bermakna bermulanya bulan yang amat dinanti-nantikan para umat Islam di seluruh dunia. Bagi yang benar-benar beriman kepada Allah, kedatangan bulan Ramadhan amatlah dinantikan kerana bulan Ramadhan adalah bulan di mana pahala akan digandakan bagi setiap amal ibadat yang dikerjakan biarpun wajib mahupun amalan sunat.

Namun mengapakah pada masa kini masih ada golongan yang mula merungut apabila menjelangnya bulan Ramadhan? Mengapakah mereka tidak menghormati bulan Ramadhan sedangkan ada dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang menghormati bulan Ramadhan itu sendiri? Jika yang dalam keadaan uzur, Allah telah membenarkan pihak tersebut untuk berbuka tetapi bergantung kepada keadaan, bukannya tidak berpuasa ataupun berbuka puasa secara sengaja. Apabila dicekup pihak berkuasa, ada sajalah alasannya yang diberikan demi membela nasib diri yang malu di depan manusia lain tetapi tidak malu di hadapan Allah.

Kita tinggalkan perkara di atas dan marilah kita berkongsi sedikit ilmu mengenai kelebihan bulan Ramadhan. Teramat rugilah kita semua jika kita tidak mengambil peluang ini sementara nyawa kita masih dipanjangkan Allah dan masih diberikan tenaga untuk beramal ibadah kepada-Nya. Antara kelebihan bulan Ramadhan ialah:

1.Bulan yang penuh dengan keberkatan. Dalam erti kata lain, ‘Syahrul Mubarak’. Secara kasarnya, keberkatan dalam bulan Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 10 malam pertama dipenuhi dengan rahmat Allah, 10 malam kedua diisi dengan maghfirah iaitu pengampunan daripada dosa-dosa, dan 10 malam terakhir adalah pembebasan umat manusia daripada seksaan api neraka.

2.Keberkatan bangun beribadat di tengah malam. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa mendirikan solat malam di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Muttafaqun 'Alaih).

3.Dalam bulan Ramadhan, Allah telah menjanjikan akan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah pula pintu-pintu neraka manakala iblis dan syaitan adalah dihindarkan daripada mendekati umat manusia.
“Dari Abu hurairah r.a bahawasnya Rasulullah SAW berkata: “Bila telah datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga, dan terkuncilah pintu-pintu neraka, dan terbelenggulah syaitan-syaitan” (HR Bukhari & Muslim).

4.Puasa bulan Ramadhan itu diistimewakan oleh Allah SWT, untuk Allah sendiri dan Dia sendiri pula yang akan menentukan ganjaran. Sebagai mana hadis SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:
“Dari Abu Hurairah r.a berkata ia: Telah bersabda Rasulullah SAW : “Tiap-tiap amalan anak Adam dipergandakan pahalanya antara sepuluh sampai 700 kali, telah berfirman Allah ‘Azza Wajalla, kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untukku dan Akulah yang akan membalasnya, ditinggalkannya keinginan hawa nafsunya dan makanannya kerana Aku semata-mata”.

5.Di dalam bulan ramadhan berlaku Lailatul Qadar yang mempunyai kelebihan pahala amalan kebajikan mendapat ganjaran seperti beribadah seribu bulanAntara kelebihan yang utama ialah ia mengandakan pahala ibadah. Diawal bulan ramadhan adalah kerahmatan, dipertengahanya keampunan dan diakhirnya dijanjikan terlepas dari api neraka. Sebagai mana berfirman Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa dan bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah. Maka sudah sewajarnya setiap muslim mengambil kesempatan daripada ketibaan bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan amalan ibadat sama ada di siang hari ataupun di malamnya.

Sekadar perkongsian ilmu)