Sunday, May 15, 2011

Beruk Part 1

Jam lapan lima minit loceng berbunyi. Murid-murid berbaris di tengah padang menghadap tiang bendera yang sudah condong. Di puncaknya sehelai bendera lasam berbelit kaku. Sudah lama bendera itu tidak berkibar.

Lima minit murid-murid berbaris, tanpa seorangpun datang mengawas. Barisan-barisan itu bengkang bengkok macam ular kena bedal. Begitulah setiap hari. Mereka berbaris kerana di suruh. Untuk apa mereka tidak tahu. Dan tiang bendera bersama sehelai kain berjalur merah putih di depan mereka, ertinya haram mereka tidak tahu.

Sebentar kemudian barulah keluar seorang guru bercekak pinggang. Dia Cuma memerhatikan murid-murid itu dengan penuh jemu. Tiada satu tafsiran pun terhadap masa depan murid-murid. Dia Cuma makan gaji.

“Dengar sini semua!” Dia bersuara tapi kata-kata itu tenggelam dalam suara bising murid-murid. “Diam! Dengar sini semua” Cikgu Sunan meninggikan suaranya.
Murid-murid diam. Tapi barisan masih macam tadi juga. Bengkok.
“Sudah berapa kali saya pesan. Waktu rehat jangan dekat kereta. “Cikgu Sunan memberi amaran keras. Amaran yang selalu diucapnya.
Murid-murid menoleh ke belakang. Kereta Volkswagen menjadi tumpuan mereka. Kura-kura
patah kaki, kata sesetengah murid.

Murid-murid yang diam itu sering benar mendengar amaran seperti itu. Amaran-amaran seperti itu melebihi daripada Lagu Negaraku. Mereka lebih hormat kepada kereta Cikgu Sunan daripada bendera dan Lagu Negaraku. Pernah setahun dulu, dua tiga orang murid menyepak-nyepak bendera buruk yang gugur sendiri dari tiang.

Selesai Cikgu Sunan memberi amaran penting, murid-murid dibenarkan masuk ke darjah masing-masing. Dan Cikgu Sunan kembali ke bilik guru, langsung berbual-bual dengan guru-guru yang lain. Mereka bercakap-cakap pasal kereta. Pasal tangga gaji dan pasal perempuan.

Pukul lapan tiga puluh minit masing-masing masuk bertugas. Cikgu Sunan masuk ke dalam darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat suruh murid-murid bangun. Masing-masing bangun, tapi sama seperti berbaris tadi. Malas. Cikgu Sunan tidak ambil pusing hal itu.

0 comments:

Post a Comment