Sunday, May 15, 2011

Beruk Part 4

Untuk sampai ke rumah Alias, Cikgu Sunan terpaksa melalui lorong sempit yang boleh dikatakan denai. Di kiri kanan lorong itu banyak pokok “keman malu” dan senduduk. Berlopak-lopak. Tidak ada orang lalu-lalang.

Kampung tempat tinggal Alias sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala terlintas juga di hati Cikgu Sunan, bahawa memang patut Alias tidak datang selalu ke sekolah. Kalau dia sendiri pun jadi Alias dia tentu tidak datang ke sekolah. Sekali lagi perasaan menyesal menumbuk di hatinya kerana perbuatannya itu tidak diselidik lebih dulu. Akhirnya sampai juga Cikgu Sunan. Dia terpaksa menyeberangi sebatang titi melintasi sebuah parit yang selebar tiga meter.

Alias tidak ada. Berkali-kali Cikgu Sunan memanggil, tapi senyap saja. Tiba-tiba seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu menjemput Cikgu Sunan naik. Cikgu Sunan menolak perlawaan itu, tapi berkali-kali pula orang tua itu menjemputnya. Akhirnya Cikgu Sunan mengalah apabila orang tua itu memberitahu yang dirinya lumpuh, tidak dapat turun.Sekali lagi rasa sebak menyerang dada Cikgu Sunan. Rupa-rupanya kesulitan Alias berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya yang ganas itu.

“Alias ke mana mak cik?” tanya Cikgu Sunan.“Entah, dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik buah kelapa di hujung kampung”.“Dia panjat pokok kelapa?”“Takkk, dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak mak cik lumpuh,” terang ibu Alias dengan hiba. Di atas alang rumah itu terdapat buku-buku Alias. Dindingnya tembus di sana sini. Tidak ada apa yang boleh dinamakan perhiasan. Cuma satu cermin bulat sebesar tempurung jantan.

“Dah lama mak cik lumpuh?” tanyanya.“Dah hampir setahun,” terang orang tua itu lagi.Cikgu Sunan yang duduk di muka pintu sahaja itu mengangguk-angguk. Rasa simpati kepada Alias semakin tebal.

“Saya datang ni nak tau. Mengapa Alias tak ke sekolah lagi?”.“Entahlah. Katanya dia tak sekolah lagi. Telinganya sakit”.Cikgu Sunan termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia termenung itu tiba-tiba dia melihat Alias pulang, beruknya di atas bahu. Alias membimbit dua biji kelapa.

“Haa, itu pun dia dah balik,” kata Cikgu Sunan dengan tersenyum. Orang tua itu menjengguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan anaknya dengan pandangan mata saja. Lebih daripada itu dia tidak terdaya. “Begitulah kerjanya setiap hari sejak bapaknya meninggal,” kata orang tua itu dengan sedih.

Alias yang sudah hampir sampai ke rumahnya itu terhenti seketika apabila melihat ada orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak percaya orang itu ialah Cikgu Sunan. Tapi apabila dia sudah pasti benar, segera dia melepaskan buah kelapa yang dipegangnya. Beruknya diletakkan ke tanah dan dia terus meluru mendapatkan Cikgu Sunan. Dia senyum girang. Bersalam tangan.

0 comments:

Post a Comment