Sunday, May 15, 2011

Beruk Part 3

“Haaa, kalau dah putus apa yang kau buat?”. Cikgu Sunan bertanya keras. Memang dia tidak pernah beri muka kepada murid-muridnya.“Saya cari, cikgu!”.“Dah jumpa?”.Alias angguk. Tersenyum.“Sebab itu kau datang lambat?”Angguk juga.”Kau lebih pentingkan beruk daripada sekolah ya? Sebab tu kau pun macam beruk”. Cikgu Sunan berleter. Muka Alias dipandang dengan jijik.

“Saya sayangkan beruk saya cikgu. Dia kawan baik saya!” kata Alias dengan jujur. Marah Cikgu Sunan naik meluap. Jawapan Alias itu sungguh menyakitkan hatinya. Dia menggaru-garu. Tubuh kurus Alias dipandangnya, bagai seekor semut.“Kau nak main-mainkan saya, ya?” Cikgu Sunan menahan marah. Matanya bersinar-sinar.“Tidak cikgu, saya…”

“Sudahlah!” Tiba-tiba Cikgu Sunan menempik, Serentak dengan itu satu penampar kuat hinggap di telinga kanan Alias. Alias terhuyung-hayang. Tapi tidak mengangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya berdengung. Mukanya merah. Dengan langkah yang lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawan diam membisu. Masing-masing menumpukan perhatian kepadanya.

“ Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi beruk macam dia!” Cikgu Sunan bersyarah kepada murid-muridnya yang lain. Murid-muridnya diam membisu. Sekali-sekala mereka berpaling melihat Alias yang malang itu. Tapi pada Alias macam tidak ada apa-apa yang terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk, kali ini dia memanggung mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak matanya ada air yang bertakung.

Tiga hari sesudah itu Alias tidak datang ke sekolah. Daripada desas desus murid-murid yang lain, Cikgu Sunan mendapat tahu Alias sudah berhenti. Dengan tiba-tiba, dada Cikgu Sunan diserkup sayu. Sedih dan kasihan. Dia terasa macam ada suatu dosa yang telah dilakukannya terhadap Alias.

Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya salah dari segi undang-undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Alias telah ponteng bukan sekali dua. Apabila ditanya cuma beruknya saja yang menjadi alasan. Mana hati tidak geram. Tapi apabila dia mendapat tahu bahawa Alias berhenti, perasaan hibanya tidak dapat dikawal lagi. Dia berasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Alias supaya belajar semula hingga tamat. Dia menyesal.

Tengah hari itu Cikgu Sunan tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas bertugas dia meminjam basikal seorang muridnya dan terus pergi ke rumah Alias yang terletak sejauh empat kilometer itu. Dia tidak memberitahu guru besar. Biarlah hal itu dia selesai sendiri.

0 comments:

Post a Comment