Sunday, May 15, 2011

Beruk Part 2

Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Sunan membuat soalan kira-kira yang lain. Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku paling belakang. Dia terlewat datang. Cikgu Sunan sedar. Dia memerhati murid itu dengan pandangan tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa menentangnya.Semakin lama Cikgu Sunan memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-pura mencari sesuatu di dalam mejanya. Menggaru-garu betis yang basah dengan air embun. “Alias! Mari sini!” Cikgu Sunan memanggil murid yang datang lambat itu dengan bengis.Murid yang bernama Alias itu bangun lambat-lambat, kemudian melangkah perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia pasti akan menerima habuan. Dan kawan-kawan yang lain pun sudah menduga yang Alias akan menerima habuan. Begitu selalunya.“Berdiri di situ!” perintah Cikgu Sunan sambil jari tunjuknya menunjuk ke tepi meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam.

Alias berdiri di tepi meja dengan hati yang berdetap-detap. Bimbang. Takut. Gentar. Dia tidak dapat menduga apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia datang lambat.Tapi kali ini dia bercadang, dia akan berterus terang saja. Dia akan bercakap benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Sunan.“Mari dekat sini, Lias!” perintah Cikgu Sunan apabila dia selesai menulis soalan. Punggungnya yang lebar itu dihentak ke kerusi. Murid yang bernama Alias ini mendekat sedikit. Dia cuma memakai seluar dan baju tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai yang dilaluinya.

Cikgu Sunan memerhati dari atas ke bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk dan pakaian muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak darjah empat dulu lagi. Alias tidak berani memanggung kepala apabila Cikgu Sunan memerhatinya tanpa berkata sepatah pun. Kaki kanannya menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal kaki seluarnya yang lusuh itu.“Kenapa kau datang lambat?”

Akhirnya Cikgu Sunan bersuara. Alias tidak menjawab. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia akan kena habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya bukanlah berdasarkan sebab-sebab sama ada rumahnya jauh atau aral yang lain. Tapi kerana dia datang lambat.“Hei beruk! Saya tanya kenapa kau datang lambat?” Cikgu Sunan hampir-hampir memekik.Alias diam. Dia masih tunduk juga. Panggilan “beruk” kepadanya bukanlah sekali itu sahaja dan bukan sekadar cikgu Sunan seorang.

Di sekolah dia sudah masyhur dengan panggilan “beruk” sebab dia membela seekor beruk.“Pandang sini!” sergah Cikgu Sunan sambil mengangkat dagu Alias dengan pembaris panjang. Alias memanggung kepala. “Saya tanya kepada kau datang lambat?” Dengan suara tergagap-gagap bercampur takut, Alias menjawab, “Beruk… beruk saya putus rantai, cikgu!”.

0 comments:

Post a Comment